Monday, January 28, 2008

Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke 8

Kerajaan Malaysia keenam paling cekap di dunia

PUTRAJAYA 28 Jan. – Kecekapan kerajaan Malaysia semakin meningkat dan kini diletakkan sebagai yang keenam terbaik di dunia, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Perdana Menteri yang memetik laporan World Competitiveness Year Book yang dikeluarkan oleh IMD, sebuah institusi pengajian perniagaan terkemuka berpejabat di Switzerland, berkata, dari segi kecekapan Malaysia yang tergolong dalam kategori negara mempunyai lebih 20 juta penduduk mengatasi United Kingdom, Jerman, Thailand, Sepanyol, Jepun, Rusia dan Perancis.‘‘Di atas kita ialah China, Kanada, Amerika Syarikat, India dan Taiwan.

‘‘Bukan kita hendak bohong rakyat kerana kalau bohong, tidak lamalah kerajaan yang sedia ada ini lingkup. Jadi, tak usah fikir pasal gagal... kita tiada pilihan melainkan berjaya, berjaya, berjaya,” katanya.

Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada 3,000 kakitangan awam pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kelapan (Mappa VIII) 2008 di sini hari ini.

Majlis itu juga disertai 226 pemimpin korporat daripada sektor swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC). Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Dalam ucapan selama 80 minit, Perdana Menteri menyentuh pelbagai isu daripada persaingan ekonomi serantau, isu kecemerlangan dan kualiti, agenda membasmi kemiskinan dan kelancaran pembangunan koridor ekonomi.

Beliau turut memperkatakan pencapaian kerajaan pada tahun 2007 yang beliau sifatkan telah menunjukkan permulaan satu iltizam dan fokus baru bagi perkhidmatan awam.

Menurut Perdana Menteri, setelah beliau bercakap mengenai kedudukan Malaysia dalam laporan Doing Business Bank Dunia pada Mappa tahun lalu, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) telah ditubuhkan.

‘‘Kini sektor awam bersama rakan-rakan sektor swasta dalam Pemudah bertekad dan berusaha untuk menambah baik persekitaran perniagaan negara, lalu melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga ke-10 teratas dalam laporan tersebut pada tahun lalu,” ujarnya.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan turut dicapai perkhidmatan awam pada tahun lalu, antaranya penambahbaikan pusat sehenti dan keupayaan kerajaan melaksanakan pelarasan gaji untuk menjadikan sektor awam lebih menarik dan kompetitif.

‘‘Pada tahun lalu, kebanyakan bil bayaran kerajaan kepada pembekal barangan dan perkhidmatan berjaya dibayar dalam tempoh 14 hari. Daripada jumlah ini, 70 peratus daripada bayaran tersebut dilunaskan dalam tempoh tujuh hari.

‘‘Pencapaian ini jelas menunjukkan tahap kemampuan sektor awam,” katanya.

Justeru, Abdullah berkeyakinan penuh pada tahun ini seluruh kakitangan awam bersedia membawa usaha penambahbaikan tersebut ke tahap yang lebih baik.

‘‘Jika tahun 2007 merupakan titik permulaan, 2008 harus menjadi fasa pemerkasaan.

‘‘Mengulangi standard yang sudah dicapai bukan kecemerlangan. Peningkatan dalam standard dan pencapaian, hingga setaraf dengan mereka yang terbaik atau terbilang dalam kelasnya, itulah kecemerlangan,” katanya.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri mengingatkan bahawa negara-negara lain di Asia seperti China, India dan Vietnam tidak ‘berpeluk tubuh’ atau berdiam diri dalam mengejar pembangunan dan penambahbaikan.

Menurut beliau, negara-negara yang sudah membangun pula semakin mantap mempertahankan tahap daya saing masing-masing.

‘‘Oleh itu kita tidak boleh mudah berpuas hati. Sepanjang masa kita harus menokok tambah usaha-usaha yang lepas.

‘‘Kita harus meneruskan usaha sehingga mencapai standard kelas pertama dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Abdullah mengingatkan kakitangan awam bahawa sistem penyampaian yang pantas dan cekap akan turut memberi manfaat sampingan termasuk berupaya menangani gejala rasuah.

‘‘Kalau kita lambat dalam membuat keputusan, misalnya, ia boleh mendorong kepada rasuah. Kerana konon nak cepat, mereka bayarlah. Walaupun gejala ini tidak banyak (terjadi) tetapi kita tidak mahu ia berlaku,” katanya.

Abdullah juga memuji sikap kakitangan awam sekarang yang semakin berani tampil membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) apabila mereka ditawarkan rasuah.

‘‘Ini satu sikap yang baik dan mesti diamalkan oleh semua kakitangan awam,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta rakyat agar tidak membandingkan Malaysia dengan Singapura yang berbeza dalam semua segi termasuk dalam soal ekonomi.

‘‘Mereka anggur, kita epal... macam mana hendak bandingkan? Tidak boleh,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Abdullah meminta kakitangan kerajaan agar jangan mempersia-siakan momentum perubahan penambahbaikan perkhidmatan awam khususnya dalam separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

‘‘Malah perhebatkanlah lagi usaha-usaha saudara-saudari supaya impaknya dapat dilihat dan dirasai.

‘‘Bagi tahun 2008, bertindaklah dengan tekun. Kertas-kertas mesyuarat harus mengutamakan tindakan, bukan ‘untuk perhatian’ sahaja.

‘‘Dan setelah berbincang atau bermesyuarat atau berbalas surat, bertindaklah dengan tekun. Biarlah keputusan dan tindakan mendahului kerja- kerja kita,” kata beliau.