Thursday, January 17, 2008

Khamis Hari Batik.

Wajib batik Malaysia.

Kalau dulunya sebulan dua kali tetapi mulai sekarang empat kali sebulan kakitangan awam wajib pakai baju batik bila ke pejabat.

Harinya Khamis dan baju batiknya mestilah buatan Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberitahu para wartawan mengenai peraturan baru ini selepas merasmikan Seminar Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Inisiatif Baru Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan di Putrajaya Selasa.

Beliau berkata pekeliling kerajaan untuk penguatkuasaan peraturan itu telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan akan dihantar ke semua jabatan kerajaan secepat mungkin.
Sebelum peraturan baru itu, kakitangan awam lelaki dikehendaki memakai baju batik hanya pada 1 haribulan dan 15 haribulan pada setiap bulan.
"Sebelum ini, ia hanya pada hari Sabtu, pada ketika itu mudah untuk diingat. Tetapi oleh kerana ia diubah kepada 1 haribulan dan 15 haribulan setiap bulan, orang mudah lupa. Kita akan kembali semula kepada sistem lama...yang lebih mudah untuk diingat.

"Kita hanya benarkan pengunaan baju batik Malaysia dan bukan yang lainnya," katanya.